Saturday, 26 November 2011

Salam Maal Hijrah 1433h

السلام عليكم
Peristiwa Hijrah mengajar kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini.

Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina.Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. 

Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam. Malahan usaha dan semangat mereka semakin bertambah untuk bersaing seterusnya menerajui ketamadunan manusia yang bernaungkan Islam. 

Kekuatan sedemikian akan dapat dicapai menerusi singkapan sejarah kecekalan para Muhajirin dan Ansar di dalam peristiwa hijrah. Maka, generasi umat Islam mestilah celik ilmu bagi mengambil bekalan yang sepenting ini.Ilmu dan pengetahuan adalah dua perkara yang saling berkaitan.

Orang-orang yang berilmu semestinya adalah seorang yang berpengetahuan.Ilmu dan pengetahuan tidak diperolehi dengan hanya bergoyang kaki dan berbual kosong, tetapi ilmu yang jitu dan mantap hanya diperolehi dengan pembacaan, pengkajian dan pembelajaran.Seperti kata pujangga "tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China sekalipun"

Selamat menyambut 1 Muharram 1433 Hijrah dan Selamat Tahun Baru, harapan semoga "HIJRAH" kita tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
                                                                                                                                     
صدق الله  العظيم 

No comments:

Post a Comment